Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM
Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai
‘Multi Level Marketing’ atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam
pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri
penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik
tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4
bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga
MLM.
Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang
menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM
kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima
ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Shariah samada dalam
atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini
dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan
kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Shariah untuk mendalami proses
sistem ini.
Para ‘Ustaz’ dan Multi Level Marketing
Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi
soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak
disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan
sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di
tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan
kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub’ dan amat yakin akan halalnya
kaedah MLM ini.
Tidak kurang juga terdapat para graduan Shariah atau
pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz’ dan Ustazah’ yang juga kuat
berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan
meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan
dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam
berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini
bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.
Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga
orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama
seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi
berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah
diiktiraf oleh seorang ‘ustaz’. Justeru, saya ingin menasihatkan semua
rakan-rakan lulusan Shariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati
memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum
berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana
ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga
saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen
MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa’ad : « Seandainya orang-orang
yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah
mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur
perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab
r.a telah mengingatkan:
لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين
Ertinya : “Jangan seseorang kamu berjual beli di
pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya” (
Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)
Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus’ dalam
industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan
umum Shariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah
mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM
yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan
sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang
Islam dalam hal MLM ini.
Pengertian MLM
Secara umum ‘Multi Level Marketing’ adalah suatu cara
perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan
melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah
‘Upline’ (tingkat atas) dan ‘Downline’ (tingakt bawah), orang akan
disebut ‘Upline’ jika mempunyai ‘Downline’. Pokok utama dari perniagaan
MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat
‘vertikal’ atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan’ ataupun gabungan
antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum
Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)
Bentuk MLM yang Haram atau syubhat
Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya atau keraguannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :
1) Harga tinggi dari biasa : Menjual
produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh
lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut
Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal.
Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh’ menurut istilah ulama Fiqh.
Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy’ ini diperbezakan oleh ulama antara
harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam,
klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya
sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui
selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)
Bagaimanapun perlu diingat, dalam satu MLM mungkin
terdapat 3 atau 4 unsur syubhat dan haram yang akan saya sebutkan. Ini
tidaklah bermakna saya mengatakan MLM haram hanya kerana adanya unsur
“Harga Lebih Tinggi dari Biasa” , ia cuma salah satu unsur yang perlu
disemak dan boleh memburukkan lagi hukum sesuatu MLM sehingga boleh
jatuh tahap haram kerana penipuan dalam keadaan tertentu yang lain.
Apa yang ingin saya nyatakan ‘Ghabnun’ di sini adalah
yang dibuat dalam bentuk penipuan harga kepada orang awam, iaitu harga
yang sengaja dinaikkan kerana merangkumkan yuran penyertaan dalam system
priamid. Sebagai contoh saya pernah ‘terpaksa’ membeli sebuah produk
MLM. Oleh kerana tukang jual MLM ini amat sukar beralah, dan saya ingin
ia cepat menamatkan kempenanannya dengan adab, lalu saya belilah satu
produknya yang termurah, iaitu sebiji bantal yang dikatakan sangat
hebat, harganya mencecah RM300 sebiji. Inilah namanya ‘Ghabnun’,
sedangkan bantal tersebut rupa-rupanya langsung tiada istimewanya
setelah digunakan. Maka jelas harganya dinaikkan kerana penyertaan
sebagai ahli dan masuk dalam sistem. Tapi saya senyapkan saja keahlian
dan langsung tidak bergerak, membeli hanya kerana kasihan dengan si
penjual yang dikenali ini sahaja.
Inilah maksud saya mempunyai unsur ‘Ghabnun’, mungkin
unsur ini tidak cukup kuat untuk menjadikannya haram, tetapi ia salah
satu unsur yang memberi kesan kepada aqad, kesan ini apabila ia
bergabung dengan unsur-unsur syubhat yang lain, ia boleh menjadi haram.
Sebagai Makluman :
Mazhab Hanafi : terbahagi kepada 3 pandangan, iaitu
ada ulamanya yang mengatakan ghabnun harus walaupun Fahisyh, kedua :
Haram , ketiga : Haram bila ada usnur penipuan sahaja ( Syarh ad-Dur ,
AL-Haskafi, 2/82 )
Mazhab Maliki : Juga ulama mereka berbagai pandangan :
Pertama : Ghabnun Mustrasil samada Yasir atau fahsiyh : Haram ; Kedua :
Ghabnun lebih tinggi 1/3 dari harga pasaran biasa tanpa adalah HARAM. (
Al-Qawaid : Ibn Rusyd , hlm 601 ; AL-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Ibn Juzay,
hlm 294)
Mazhab Syafie : Harus hukumnya kecuali pandangan ganjil dari al-Mutawaali yang mengharamkannya . ( Al-Majmu’ , 7/500 )
Mahzab Hanbali : Ibn Quddamah berkata : “Ghabn
Mustarsil adala apabila si pembeli membeli dengan harga yang terkeluar
dari harga pasaran … teruatamanya apabila didesak ( agar tak pergi semak
kedai-kedai lain dulu) dan cuba disegerakan oleh penjual ” ( Al-Mughni ,
4/78 )
Justeru, perbincangan panjang tentang ‘Ghabn’
sebenarnya menunjukkan terdapat jenis ‘Ghabn’ yang disepakati haramnya
oleh ulama, ada yang disepakati halalnya, dan terdapat yang diperbezakan
pandangan. Justeru apabila saya sebut ‘ghabn’ sebagai salah satu sebab
boleh jadikan MLM haram, maka ini kerana berkemungkinan jenis yang
disepakati haram itu berlaku. Justeru, semasa menulis artikel anda perlu
faham target saya. Adakah anda yakin semua jenis ‘Ghabn’ yang berlaku
dalam MLM itu tergolong dari golongan yang harus ?. Jika ye, maka itu
pandangan anda , bukan saya. Saya lebih selesa berpandangan ia banyak
jenis ‘Ghabn’ yang berlaku lebih menjurus kepada haram terutamanya
apabila hampir semua syarikat-syarikat MLM ini amat mengambil mudah akan
hal hukum agama. Jika tidak, pastinya mereka telah mengambil Penasihat
Shariah sejak dari awal.
2) Belian Peribadi target sebagai syarat komisyen :
Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya
terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target belian
tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan
orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target’ tersebut
maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya
walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang
terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka
menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman
terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat
yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah
pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan “Anda mesti membeli atau
mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan
anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda”.
Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha
menjual (seperti ‘brokerage fee’) sesuatu barangan adalah adalah harus
menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi’en seperti
Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato’ Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’ie dan ramai
lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ).
Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh
bertukar menjadi syubhah apabila :-
* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu
jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur
pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian. namun
begitu, ia mungkin diHARUSKAN jika terdapat penasihat Shariah yang
membetulkannya selaras dengan aqad Ju’alah. namun begitu, majoriti
syarikat MLM tidak mempunyai pensaihat Syariah untuk membetulkannya,
menyebabkan ia kekal di dalam syubhah.
* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung
tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan
orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang
kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas
broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal
berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya
bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama
dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia,
AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks
memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini
adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang
bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan
mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.
Walaupun demikian, jika komsiyen datang dari pihak
syarikat atas dasar yang betul seperti jualah dan hibah, ia boleh jadi
diharuskan. Namun sekali lagi rukun dan syarat aqad yang betul mesti
dipantau oleh penaasihat Syariah yang berkelayakan.
* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam
isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau
“brokerage” (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas
“brokerage” tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli
untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM.
Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker’ atau ‘agen’ untuk menjual
sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker
(ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker’ atau ‘agen’
menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen
wakil atau broker yang diterima Islam.
3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran
tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya
hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia
mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi
tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak
jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah
wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia
merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga
hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan
berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web
yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang
hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya
juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh
dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si
ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli
bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian
serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan.
Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan
mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis
Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.
4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan
manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk
menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM
tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma
sebahagianya sahaja.
5) Terdapat juga unsur mirip “shafqatayn fi shafqah”,
atau bay’atayn fi bay’ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu)
yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : “
نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة
Ertinya : “Rasulullah SAW melarang dari membuat dua
belian (aqad) dalam satu aqad” ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami :
perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )
Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang
membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang
disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk
membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu
yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil
pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti
ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi
shafqah, atau bay’atayn fi bay’ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang
tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu’awadat (kontrak
pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam
masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk
menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan
komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana
hadith di atas.
Ingin saya tekankan juga, hal berkaitan komisyen
jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di
tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan
hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung?. Apa
yang diletakkan untuk mendapat untung?.
Sedangkan dalam contoh sebuah syarikat besar, seorang
pemegang saham sememang layak dapat untung walaupun goyang kaki kerana
ia meletakkan ‘modal’, sebagaimana yang diketahui , keuntungan boleh
didapati dari tiga sebab iaitu 1) Modal 2) Kerja 3) Jaminan ‘Dhoman’
barangan dari sebarang aib pada barang yang dijual.
Lalu si pemegang modal berhak mendapat untung kerana
ia letak modal, si pekerja layak mendapat untung kerana ia bekerja ..
jadi apa hak si upline kedua untuk dapat untung jualan si downline ke
seratus? Tiada modal, tiada kerja, tiada jaminan atau dhoman barangan
yang dijual, kernaa jaminan barangan yang dijual adalah dari syarikat,
bukan upline!.
Shafqatain di Safqah dan lafaz yang seertinya
denganya memang tidak dinafikan mempunyai banyak takrif dan tafsiran
menurut kefahaman ulama yang berbeza. Manakala sesiapa yang hanya
mendedahkan hanya beberapa kerat dari pandangan tersebut dan kemudian
terus memegangnya. Tapi perlu diingat disana terdapat pelabagi tafsiran
yang lain pula, dan saya memegang tafsiran yang lain. Maka itu tidak
bererti tafsiran pegangan saya adalah salah, dan tafsiran pegangan anda
mesti betul. Jika demikian perangainya, maka ini jelas tidak faham
konsep ikhtilaf dalam nas.
Sebagai hadiah untuk awam dan pembaca yang mampu
faham ini beberapa tafsiran tentang hadith dua aqad dalam satu mengikut
beberapa kumpulan ulama silam dan kaitannya dengan MLM:-
-
1) iaitu contoh berkata penjual kepada pembeli : ” Aku jual kepadamu baju ini dengan harga RM 10 tunai , atau RM 20 secara tangguh” , maka si pembeli bersetuju TANPA mengspecifickan plan tangguh atau tunai yang dikehendakinya. Ini bentuk yang ditafsirkan oleh Imam Malik, Abu Hanifah, At-Thawri, Ishak Rahawaih, Imam As-Syafie ( Syarh as-Sunah, Al-Baghawi, 8/142 ; ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ; Al-Mughni, Ibn Quddamah, 6/333; Al-Mudawwanah, 9/191 ).
Tiada khilaf di kalangan ahli ilmu, jenis ini adalah
HARAM. Bagaimanapun tafsiran ini tidak berapa berkaitan dengan MLM,
kerana biasnaya plan harga akan dipilih dengan tepat.
-
2) Iaitu contohnya pembeli : “jualkan kepadaku barangan ini dengan harga RM 10 tunai atau dengan sebuah radio pada tarikh akan datang”, kemudian kedua-dua bersetuju tanpa memberikan yang mana satu mereka inginkan. Ini adalah tafsiran Imam Malik pula ( ‘Aridathul Ahwazi, 5/240 ) . Ini juga tiada kaitan dengan MLM.
-
3) Iaitu contohnya berkata seorang lelaki : “Aku jual kebunku ini dengan harga RM 10,000 dengan syarat kamu jualkan rumah kamu pula dengan harga RM 15,000″ . Inilah juga tafsiran ulama mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie. ( Al-Mughni , 6/332 ; Al-Um, 3/67 ; ‘Aridatul Ahwazi, 5/239 )
Inilah tafsiran yang saya lihat ada kaitannya dengan
kebanyakkan MLM. Iaitu berkata syarikat MLM kepada seorang ahli baru
sebagai contoh : “aku jual barang water filter ini dengan harga
RM 2000 dengan syarat engkau jadi wakil jualanku dengan komisyen
sebanyak 3 % dari harga jualanmu dan aku beri mandate kamu
untuk jadi lantik ahli baru dan setiap jualannya kamu akan dapat 1 %
dengan syarat kamu ada jualan sendiri sebanyak RM 1000 setiap bulan”
Lihat, dalam contoh saya tu ada berapa jenis aqad muawadah maliah yang bersifat lazim?
a- Jual barang RM 2000 – Aqad jual beli yang bersifat lazim
b- Lantik jadi wakil dengan upah (Wakalah bil Ujr) – aqad wakalah yang bersifat lazim.
c- Beri mandate untuk cari ahli – ini tiada masalah
d- Setiap ahli yang kamu lantik jual kamu layak dapat 1% – Ini ju’alah, juga kelihatan tiada masalah.
e- Kamu hanya layak
dapat 1 % ju’alah tadi dengan syarat kamu ada jualan sendiri RM 1000 –
Ini ada syubhat sikit syarat seperti ini. Perlu perbincangan dan
ijtihad.
Cuma, secara umum kita dapat melihat bergabungnya dua
aqad mu’awadat maliah (pertukaran hak milik harta) yang bersifat
Lazim. Jika aqad itu ghayru Lazim maka ia diharuskan, tetapi dalam hal
ini dua aqad itu adalah “aqad lazim”
-
4) Iaitu seorang penjual menjual dua barangan berlainan harga iaitu kasut dengan harga RM 100 dan handphone dengan harga RM 700, tetapi ia membuatnya terikat, iaitu jika anda beli handphone, maka pembelian kasut juga menjadi wajib. Inilah takrif yang dipegang oleh Al-Qadhi Ibn Al-Arabi al-Maliki ( Al-Qabas Syarah Al-Muwatta’, 2/842 ; Al-Muntaqa , 5/36) .
Ini juga mempunyai sedikit kaitan dengan MLM kerana
meletakkan syarat satu aqad lain sebagai syarat untuk sesuatu aqad itu
boleh ‘concluded’.
-
5) Iaitu contohnya : Berkata penjual : ” Aku jual handphone ini dengan RM 100 dengan bayaran ansuran dalam 3 bulan, dengan syarat aku akan belinya semual darimu dengan harga RM 80 tunai” . Ini adalah tafsiran Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim pula. Ia adalah sama dengan takrif Bai Inah. ( Mukhtasar Al-Fatawa Lib Ibn taymiah, hlm 327 ; Tahzib Mukhtasar Sunan Abi Daud, Ibn Qayyim, 5/100 )
Tafsiran ini agak kurang kaitannya dengan MLM.
Demikianlah beberapa takrifan dan tafsiran ulama
tentang hadith dua aqad dalam satu. Sebenarnya ada terdapat 3 lagi
tafsiran, Cuma cukuplah sebagai info tambahan kepada pembaca. Oleh
kerana beberapa yang dilakukan dalam MLM ada terdapat dalam salah satu
tafsirannya, maka saya masukkan point dua aqad di dalam satu sebagai isu
yang boleh menjadikan MLM samada haram atau batal atau syubhat.
Pun begitu, point ini boleh diealakkan jika aqad
tersebut boleh dipisahkan dan berdiri dengan sendirinya. Pemantauan
penasihat Syariah diperlukan bagi memastikan hal ini mampu dibuat.
Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?
Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) pernah
mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas
yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk
perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang
digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage’ sebagaimana didakwa.
(Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim
Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : “Banyak
pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum
gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya,
dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian
selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah
tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan
memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan.
Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil
motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya
dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak
menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan
produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian
piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru
membayar yuran.
Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.
Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan
individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan
anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah
(downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas
mereka.
Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang
tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah
saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham
dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus
dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM
ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah
berikut dapat dipatuhi :-
1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya
(seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan
serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru,
produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana
ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum
Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu
ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka
pendek mengumpul dana (modal).
2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.
3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala’ atau ahli yang ditaja,
tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini
diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan
produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).
5. Tidak diwajibkan bagi si ahli membuat belian sendiri dalam jumlah tertentu
bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya. Ini kerana dibimbangi
ia mirip paksaan belian. Namun jika syarikat meletakkan syarat JUALAN
MINIMA untuk memperolehi komisyen kumpulan dan sebagainya, ia mungkin
dibenarkan dengan syarat ia dibuat atas asas ju’alah. Untuk itu, syarat
dan rukun jua’alah mestilah dipastikan sempurna.
6. Setiap ‘upline’ atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya,
seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen
secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu
bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak
adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah’. Ini
kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari
sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha
perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu
diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak
mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan.
Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian
berangkai dan begitu jauh ?.
7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala
hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan
pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan
mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu
menjual dengan lebih hebat.
8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.
9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu
perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan
nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.
Mana MLM alternatif??
“Kalau ustaz pandai sangat, kenapa tak tuliskan
sahaja macam mana MLM yang menepati Shariah tu, biar orang boleh guna”
Demikian tempelak seorang pemuda tanpa kesabaran melalui sebuah web.
Jawapan saya seperti berikut :-
Pertama : Memang ramai ‘suruh’, ‘arah’ dan minta saya sebutkan macam mana MLM yang harus serta realistik.
Inilah masalah orang ramai, tidak berfikir mendalam
sebelum meminta. Kita kena faham, tak semua yang perniagaan diasakan
ikut cara yang menpeati Shariah itu menarik pada pandangan mata orang
ramai dan boleh laku untuk dijual di Malaysia, dan tak semua pula plan
dan skim atau produk yang sangat boleh dijual dan menarik itu menepati
hukum Shariah. Jadinya bagi menghasilkan satu plan hebat yang menepati
Shariah dan boleh jual, perbincangan dua pihak antara Ilmuan Shariah
& bisnesman amat perlu dalam hal ini.
Mana mungkin sebuah plan pemasaran MLM terbaik dapat
dicadangkan hanya dengan mengemukakan permintaan mudah begitu sahaja
kepada saya, ini kerana mungkin saya mempunyai penyelesaian dari sudut
teori Shariahnya. Teori ini pula sebahagiannya bersifat fleksible dan
tidak sebahagian yang lain, kerana itu perbincangan diperlukan dengan
pihak pakar pemasaran demi memastikan samada ia ‘viable’ untuk
diperkenalkan atau tidak. Kerana saya bukanlah pakar dalam bab
pemasaran.
Kedua : Saya juga bukanlah seorang
jutawan yang membolehkan saya memperkenalkan plan bisnes MLM contoh yang
hebat dan menepati Shariah. Mudahnya, selagi tiada bisnesman Muslim
yang punyai perhatian kuat tentang halal haram dan berkesudian
berbincang dengan orang Shariah, selagi tu tidak akan didapati plan dan
skim MLM alternatif yang menepati Shariah.
Untuk maklumat, proses inilah yang amat kerap kami
(ilmuan Shariah sedunia, saya dan rakan-rakan ustaz di semua institusi
kewangan Islam seluruh dunia) ; iaitu kami duduk berjam-jam dengan pakar
pemasaran, peguam untuk mencipta produk kewangan Islam yang halal serta
dalam masa yang sama aqad-aqadnya juga halal dan boleh diaplikasikan di
sisi undang-undang Malaysia. Kesimpulan saya, jika hanya ada satu pihak
sahaja yang bersungguh, ia pasti akan menjadi hasrat yang terbengkalai
juga.
Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih
terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah
ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru
baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur
Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran
negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan
Shariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui
pandangan Shariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah
pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan,
kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini.
Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini
sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan
serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu
‘alam.
Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)
*
*
Good Artikel..dah lama akk cari..keep up your good work Yana
ReplyDelete